Filem Hantu Boleh Untung Besar

Mengapa filem-filem di negara kita tidak seperti filem-filem di negara luar? Mengapa penerbit atau pengkarya filem di negara kita kebanyakannya suka ‘berlumba’ untuk menghasilkan filem-filem yang lebih berunsurkan tahyul dari filem yang lebih menerapkan nilai-nilai murni? Boleh dikatakan setiap filem baru yang ditayangkan atau akan ditayangkan kebanyakannya berunsur hantu tahyul walaupun filem itu dikategorikan sebagai genre komedi.
Cuba kita perhatikan kebanyakan filem luar yang disiarkan di stesen televisyen tempatan sempena Tahun Baru Cina yang lalu mempunyai banyak unsur patriotisme dan semangat perpaduan di kalangan masyarakat berkenaan. Antara contoh filem terbaik yang ditayangkan adalah seperti Ip Man II yang disiarkan pada 22 Januari yang lalu di TV3.
Filem ini menarik kerana mengisahkan tentang semangat seorang pengamal seni mempertahankan diri dalam menyara kehidupan keluarganya serta membela maruah bangsanya yang seolah-olah dipijak dan dicaci oleh penjajah British di Hong Kong pada ketika itu.
Filem ini adalah satu contoh yang baik kerana dapat membangkitkan semangat nasionalisme dan membanggakan bangsa sendiri. Setiap kali tibanya perayaan Tahun Baru Cina, filem yang disiarkan adalah hasil karya seni yang banyak menerapkan nilai semangat cintakan bangsa dan negara serta mempunyai unsur kekeluargaan dan setia kawan.
Begitu juga dengan keadaan ketika sambutan Krismas pada tahun lalu. Kebanyakan filem yang disiarkan berkisar pada tema kasih sayang sesama keluarga, cinta dan komedi ringan berteraskan konsep cinta dan kasih sayang seperti filem Surviving Chrismas yang disiarkan pada 24 Disember tahun lalu.
Berbeza dengan sambutan Aidilfitri. Kita tidak seharus menjadi hipokrit dalam pekara ini dan menafikannya. Jika kita perhatikan, kita dapat melihat kebanyakan filem yang ditayangkan banyak yang berunsurkan hantu yang tidak terhad kepada genre seram dan ngeri semata-mata. Genre komedi juga menjadikan hantu sebagai medium sebagai bahan lawak dan sering disiarkan ketika tiba musim perayaan ini. Kalau ada yang mengatakan ada saja filem lain yang tidak berunsurkan hantu, memang benar ada seperti filem fantasi Magika yang diterbitkan oleh KRU Studios.
Namun, kita tidak boleh menafikan jumlah filem yang mempunyai unsur hantu serta tahyul banyak disiarkan hingga dalam satu hari cuti perayaan Aidilfitri. Apa yang kita boleh pelajari dari filem seperti itu?. Mengenali jenis-jenis hantu?. Ilmu hitam?.
Kesimpulannya, filem yang dihasilkan perlulah lebih menerapkan banyak nilai-nilai murni dan semangat penyatuan semua kaum, cintakan tanah air yang tercinta serta memperkasakan semangat perpaduan dan nasionalisme bukannya berunsurkan hantu tahyul.