Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Denda Bukan Hukuman Berkesan

05.31.2012 · Posted in Sosial Dan Hiburan

Kini sudah hampir separuh perjalanan menuju pertengahan tahun 2012. Sepanjang perjalanan ini, kita banyak dikejutkan dengan pelbagai berita yang kurang enak didengar seperti pembuangan bayi, remaja lari dari rumah, kes khalwat dan yang terbaru, remaja Melayu terbabit sebagai penari tiang.

Sepatutnya hal sebegini ditangani pihak berkuasa secara berkesan daripada akar umbi lagi dan bukannya setakat menghukum pesalah hanya dengan membayar denda.

Bagi kes khalwat, kenapa tidak dikenakan tindakan yang lebih keras seperti penjara sebulan atau lebih? Pesalah kes khalwat hanya dikenakan denda yang langsung tidak sama sekali menakutkan mereka. Begitu juga dengan kes penari tiang yang didenda hanya RM25 seorang yang langsung tidak logik bagi seseorang yang beragama Islam.

Sepatutnya mereka dikenakan hukuman penjara walaupun hanya sebulan kerana ia lebih berkesan daripada membayar denda. Kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, mereka seharusnya lebih peka dengan siaran drama dan filem Melayu yang semakin galak menayangkan cerita yang langsung tiada sebarang pengajaran dan tidak boleh dijadikan contoh.

Mereka hanya berminat untuk mendedahkan kepada masyarakat terutamanya golongan remaja dengan isu gejala sosial yang semakin melampau seperti merempit, remaja lelaki dan perempuan bersekedudukan yang ditayangkan dalam drama bersiri ‘Apa Celop’. Apa maknanya semua ini, bersosial di dalam bar dan isu lain.

Kementerian berkenaan mesti lebih peka mengenai perkara ini dan bukannya menghukum lirik lagu yang dikatakan boleh menghasut remaja supaya lari dari rumah. Artis Malaysia juga hari ini dilihat semakin berani berpakaian dan melakukan aksi ghairah dalam lakonan ataupun sesi bergambar untuk media. Semua itu memberikan contoh yang tidak sihat dan sepatutnya mereka diberikan amaran keras oleh kementerian kerana mereka adalah idola remaja masa kini.

Jika perkara sedemikian tidak ditangani dengan sebaiknya, entahlah apa akan terjadi kepada generasi yang akan datang. Lain dulu, lain sekarang.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup