Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Buruh Maut Dilibas Pisau

05.22.2012 · Posted in Sudut Berita

Polis kini telah berjaya menahan seorang penganggur dan dua rakannya di sebuah rumah di Taman Intan, Kluang, Johor, bagi membantu siasatan pembunuhan seorang buruh, Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, yang meninggal dunia akibat cedera parah di leher selepas dilibas dengan pisau oleh rakan sendiri dalam kejadian yang berlaku kira-kira 8.30 malam, di Kompleks Sukan JKR yang terletak kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Sebelum kejadian berlaku, mangsa yang ditemani oleh rakannya telah bersemuka dengan dua suspek yang juga rakan baiknya itu bagi meminta penjelasan berhubung perbuatan mereka yang dikatakan mencabul kehormatan ibu dan adiknya.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sebelum seorang daripada rakannya itu mengambil pisau dari motosikalnya lalu meluru pantas melibas ke leher mangsa. Mangsa maut akibat daripada kecederaan parah di leher.

Bertindak pantas sejurus menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut, pihak polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk memberkas semua suspek yang terlibat. Ketika-tiga suspek yang berumur 16 hingga 22 tahun berkenaan ditahan pada 5.20 pagi semalam, iaitu kira-kira lapan jam selepas pembunuhan berkenaan berlaku.

Semua suspek yang sedang merancang untuk melarikan diri itu berjaya diberkas berdasarkan rekod peribadi mereka yang berada dalam simpanan polis kerana kesalahan lampau. Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan berkaitan masalah dalaman keluarga. Semua suspek kini direman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu mangsa, Saemah Mogeri, 43, berkata beliau tidak menyangka tindakan anaknya itu bersemuka dengan suspek untuk mempertahankan maruah keluarganya akan berakhir dengan tragedi. Saemah dan keluarganya yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, mereka bukan saja kehilangan tempat bergantung malah anak lelaki sulungnya itu yang selama ini menjaga kebajikan dan keselamatan mereka sekeluarga.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup