Bahaya Pam Air Enjin Bocor

Pam air enjin pada kenderaan merupakan komponen penting yang perlu diberi perhatian dan ia boleh menjadi ‘ pembunuh senyap ‘ pada kenderaan jika kita lalai mengendalikannya.
Tugas pam air enjin ialah bertindak sebagai pengalir arus air ke dalam enjin untuk sistem penyejukan dan suhu ini akan disukat melalui kepanasan air oleh pengesan tolok suhu ( water temperature sensor ) di mana ianya terletak di bahagian ‘ intake manifold ‘. Ini kerana tolok itu akan memberi isyarat untuk memusingkan kipas pada radiator apabila suhu air mencapai tahap kepanasan.
Jika terdapat kebocoran pada bahagian pam, pam air akan bertindak mengepam keluar semua air dalam enjin dan jika ini berlaku, tolok suhu enjin pada bahagian meter kenderaan tidak akan menunjukkan sebarang perubahan kerana gagal mengesan tahap kepanasan enjin kerana ketiadaan air dalam enjin disebabkan kebocoran pada bahagian pam.
Keadaan ini amat merbahaya kerana pemandu tidak menyedari akan kebocoran air pada pam ketika memandu dan sebarang perubahan yang berlaku seperti enjin akan mengeluarkan bunyi yang lebih kasar diikuti dengan prestasi enjin yang menurun dengan ketara seperti menjadi berat ketika memandu.
Jika pemanduan diteruskan juga tanpa menghiraukan keadaan dan perubahan pada enjin sedang berlaku, kepanasan yang melampau akan terbentuk dan bagi sesetengah kenderaan, situasi ini akan menyebabkan minyak enjin terbakar dan menjadi kering seperti tar. Pada sesetengah kenderaan lain, keadaan ini boleh menyebabkan minyak enjin menyembur keluar atau mengalir ke lubang air melalui keretakan dalaman enjin atau pelapik ( gasket ) yang terbakar akibat daripada tahap kepanasan yang melampau.
Jadi, pastikan air dalam tangki radiator selalu diperiksa sebelum memulakan perjalanan dan jika ia sudah berubah menjadi berkarat, hantar kenderaan anda ke pusat membaiki kenderaan yang bertauliah untuk menyelenggara dan membersihkan tangki radiator.
Bagi kenderaan yang menggunakan bahan cecair penyejuk ( radiator coolant ), perubahan warna pada cecair ini juga perlu diberi perhatian yang serius. Gantikan air atau cecair penyejuk enjin ini pada setiap 20,000 kilometer perjalanan atau enam bulan sekali iaitu mana yang hampir.
Gantilah pam air enjin kenderaan anda pada setiap kali penggantian timing belt dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Apa yang pasti, gunakanlah nilai bagi setiap ringgit wang anda pada sesuatu yang sepatutnya demi tahap keselamatan kenderaan anda.