Bahasa Melayu Kian Dilupakan

Bahasa Melayu mengalami perkembangan daripada bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan bermula dari abad ke-19 melalui hasil karangan Munsyi Abdullah, bahasa Melayu dianggap melangkah ke depan dengan permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Bahasa Melayu pernah membina ketamadunan tinggi dalam falsafah, kesusasteraan, pentadbiran, perundangan melalui karya besar yang diiktiraf sarjana seluruh dunia dalam bidang pengajian Melayu.
Antaranya hasil karya agung ilmuan dan pemikir dunia Melayu ternama seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan Abdullah Munsyi. Berdasarkan kajian James T Colins, jumlah penutur bahasa Melayu di seluruh dunia sama ada dituturkan sebagai bahasa pertama atau bahasa kedua dianggarkan sehingga 200 juta orang dan diramal mencecah 300 juta orang menjelang 2020. Sayangnya, bahasa Melayu yang dulunya mengah bergelar ‘ lingua franca ‘ kian layu di bumi sendiri kerana Melayu mudah lupa.
Penutur jati bahasa Melayu di Malaysia hari ini sudah dijajah mindanya sehingga tidak lagi sayang bahasa sendiri dan mengagungkan bahasa asing. Pemikiran mereka berubah kononya bahasa Melayu tidak moden, kekampungan dan tidak mampu membawa pengamalnya ke arah kemajuan.
Usaha mendaulatkan bahasa Melayu dilanda pelbagai konflik dengan timbul pelbagai masalah daripada sekecil-kecil isu kepada yang paling besar. Daripada aspek paling asas juga bahasa Melayu seperti diancam pergolakan dahsyat dan menjadi polemik besar pada suatu ketika nama ‘ bahasa Melayu ‘ itu sendiri dipertikaikan.
Namun bahasa Melayu berasal daripada penutur asalnya sebelum ditukar kepada nama negara menjadi bahasa Malaysia. Analogi mudah polemik ini adakah orang Amerika bertutur bahasa Inggeris menamakan bahasa mereka bahasa Amerika.
Isu ini dilihat seperti sudah selesai tetapi masih menjadi masalah tanpa penghujung dan ramai memendam rasa apabila keadaan tidak begitu memihak kepada perjuang-pejuang bahasa yang berpendirian mengekalkan nama asal bahasa Melayu. Kita lihat pula dari aspek status bahasa Melayu di Malaysia seperti termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 152 (1) yang memperuntukkan bahasa Kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu.
Situasi hari ini, bahasa Inggeris lebih selesa dan kerap digunakan buka saja dalam sektor swasta malah dalam majlis kerajaan. Sikap malu bertutur bahasa Melayu itu menyababkan ia umpama menumpang di rumah sendiri. Kenapa tidak mencontohi China, Korea dan Jepun yang menggunakan bahasa mereka secara bangga pada peringkat sosial, ekonomi dan pentadbiran?.
Malah, ketika berurusan dengan negara luar, mereka jelas tidak segan menggunakan bahasa mereka sendiri kerana dalam setiap urusan rasmi membabitkan dua negara yang berlainan pastinya disediakan khidmat jurubahasa. Agak musykil mengapa mentaliti orang kita terlalu berbeza hinggakan majlis yang majoritinya rakyat Malaysia dan hanya seorang dua saja bangsa lain, secara automatiknya orang yang berucap menggunakan bahasa Inggeris kononnya mudah difahami.
Khidmat jurubahasa seperti tidak diperlukan ketika menghadiri persidangan negara luar apabila pemimpin negara sendiri tidak berminat menjadi duta besar bahasa Melayu di luar negara. Mungkin kita tidak melihat dengan akal budi yang celik bagaimana bangsa Jepun menggunakan bahasa ibunda sendiri menjadi satu bangsa yang cukup maju, memonopoli bidang sains dan teknologi. Pastinya kita akui hakikat itu dengan hanya melihat keluaran kenderaan terkenal seperti Honda, Daihatsu, Mitsubishi, Toyota serta Nissan dan itu tidak termasuk keluaran produk teknologi lain.
Mereka berjaya tanpa mendaulatkan bahasa Inggeris. Mengapa kita harus menjulang bahasa asing kononya atas tiket kemajuan menguasai dunia globalisasi hingga institusi pendidikan tunduk kepada perubahan pembelajaran sains dan matematik di sekolah.
Kita semakin hairan mengapa kemampuan bahasa Melayu ini semakin diragui sedangkan terbukti ia berjaya menunjukkan kemampuannya sebagai bahasa perpaduan. Perhatikan bagaimana masyarakat berbilang kaum berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa Melayu yang menepati ciri interaksi berkesan dengan menggunakan bahasa yang seragam.
Perkara ini sebenarnya bergantung kepada rakyat Malaysia sendiri sama ada benar-benar mahu mempertahankan bahasa atau berdiam diri dengan mengikut arus telunjuk umpama lalang yang tidak tetap duduknya, bergerak mengikut angin. Ia bukan bereti menghalang penguasaan bahasa Inggeris kerana ciri asas menuntut ilmu adalah menggalakkan individu mempelajari banyak bahasa dengan syarat bahasa Melayu tetap diangkat sebagai bahasa yang paling utama.