Arak Memudaratkan Kesihatan

Published on: Mar 01 2012 by admin

Satu lagi gejala sosial yang cukup kronik dan dibimbangi menular dikalangan generasi muda ialah minum arak. Di Barat memang menjadi satu rutin hidup yang sudah berakar umbi kukuh dalam budaya mereka.

Kini, gejala buruk lagi haram serta dilaknat ALLAH itu mula menjalar dalam jiwa muslim sehingga menimbulkan pelbagai impak kepada Islam. Ketagihan arak adalah salah satu penyakit yang akan menerbitkan pelbagai impak negatif sama ada ke atas agama, harta benda mahupun anggota fizikal badan. Seandainya seseorang itu mati tatkala sedang minum arak, maka perlulah kita menginsafi bahawa ALLAH menjanjikan balasan azab siksa yang maha pedih.

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW:” Sesiapa yang mati dalam keadaan dia minum arak, maka ALLAH akan memberinya minum daripada nanah penduduk neraka.” (Riwayat Muslim).

Selain itu budaya meminum arak perlu dibendung kerana kesan buruk terhadap kesihatan. Hal itu telah diperakui dengan bukti kukuh secara saintifik oleh banyak pakar kesihatan. Malah banyak penyelidikan serta kajian dilakukan sama ada di dunia Islam mahupun di Barat.

Antara kesan paling tragik yang akan menimpa kepada pengamal minum arak ialah penyakit kerosakan hati yang menjadi salah satu penyebab berlakunya kes saluran darah tersumbat akibat daripada tahap kolesterol tinggi yang terdapat dalam kandungan darah peminum arak. Lebih dahsyat lagi, arak disahkan sebagai perosak kepada perseimbangan fungsi dalam otak dan sistem saraf.

Manusia sepatutnya mengelak daripada terjebak dalam kancah dadah dan arak, sebaliknya senario sebenar masa kini tidak pula mengambarkan kesedaran dan ketakutan manusia terhadap kesan buruk lagi hina itu.

Mengapa terjadinya hal sedemikian dan apakah puncanya semakin ramai yang cuba menjinakkan diri dengan saluran kehidupan yang memudaratkan itu. Sebab itulah Islam telah menggariskan cara bergaul dengan tapisan had tertentu semata-mata bermatlamat mengelakkan daripada terjerumus ke kancah hina dan keji.

Jadi, pendidikan kepada anak-anak oleh ibu bapa dan pendidikan di sekolah sewajarnya memberi penekanan dalam aspek pergaulan. Penerangan dan bimbingan yang terperinci perlu disampaikan buat pengetahuan anak-anak supaya mereka membesar dalam rangka budaya pergaulan yang baik dan tidak mengikut telunjuk rakan sebaya yang melalaikan.

Pengaruh negatif rakan sebaya sangat kuat dalam membawa ke arah kebaikan atau keburukan. Ini tidak menghairankan kerana dari pandangan perspektif psikologi ada menghuraikan fakta bahawa sikap individu yang sentiasa mahu mencuba menyebabkan pengaruh positif ataupun negatif mudah diikuti.

Maka ibu bapa bukan saja perlu membimbing anak-anak mereka cara memilih rakan yang betul, tetapi juga hendaklah memantau secara rapi dan ketat terhadap gaya pergaulan anak-anak mereka itu. Sekiranya ibu bapa hanya memandang sebelah mata saja aspek pergaulan itu, maka dikhuatiri anak-anak akan terpengaruh dengan rakan sebaya yang kurang baik atau rosak akhlaknya.

Biarlah anak-anak kita memilih untuk bertemankan rakan yang akan membawa mereka kepada amal soleh dan kebaikan dan bukannya mempengaruhi jiwa anak kita menjadi seorang mukmin yang melanggar perintah Tuhan dan berperangai mengikut jalur gaya hidup fasik ( tidak hairan melakukan dosa ) yang pastinya kita sebagai ibu bapa juga akan menanggung akibatnya nanti.

Bookmark and Share

Sorry, the comment form is closed at this time.