Anjing Pitbull Pembunuh

Kes manusia diserang oleh anjing peliharaan saban hari kita dengar. Kebanyakan kanak-kanak yang sering menjadi mangsa serangan tersebut. Apabila terbaca berita serangan oleh anjing peliharaan, mungkin ramai di kalangan masyarakat kita akan menjadi marah kerana sedikit kecuaian boleh membawa padah.
Terkini, seekor anjing jantan jenis Pitbull telah menyerang seorang warga emas sehingga maut di Subang Jaya pada Selasa lepas. Kejadian tersebut telah banyak memberi pengajaran kepada kita bahawa anjing peliharaan boleh bertindak di luar jangkaan jika pemiliknya cuai. Anjing jenis pembunuh seperti itu tidak sewajarnya diberi lesen pemeliharaan kerana boleh membahayakan orang ramai terutamanya kanak-kanak di kawasan sekitarnya.
Walaupun anjing itu mempunyai lesen, pemiliknya tetap melakukan kesalahan kerana melepaskan anjing tersebut tanpa diikat dan dikawal di luar permis. Akibat daripada kecuaian pemilik anjing tersebut, satu nyawa yang tidak berdosa telah terkorban. Adakah berbaloi dengan kesalahan seperti itu, pemilik haiwan tersebut hanya dikenakan kompaun RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana kecuaian manakala anjing tersebut telah dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.
Sepatutnya, bagi kesalahan itu wajar bagi pemilik anjing tersebut dikenakan hukuman yang lebih berat seperti di penjarakan kerana kompaun sahaja tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap pemilik tersebut. Bagaimana jika perkara ini berulang kembali? Nyawa hanya semurah RM1,000? .
Diharap agar undang-undang bagi memelihara, memiliki lesen haiwan tersebut dikaji semula. Kita tentunya tidak mahu perkara sedemikian berlaku kembali.