Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Amalan Membaca Budaya Hidup

05.04.2012 · Posted in Isu Semasa

Pesta Buku Antarabangsa kini tiba lagi. Sekali lagi Kuala Lumpur dibanjiri dengan ribuan pencinta buku dari pelbagai peringkat usia dari seluruh pelusuk tanah air. Malah ada yang sanggup mengambil cuti rehat tahunan sehari dua semata-mata untuk mengunjungi pesta buku. Pesta buku memang selalu dinanti-nantikan oleh pencinta dan ulat buku yang sentiasa dahagakan bahan bacaan terbaru.

Melihat sambutan yang cukup luar biasa terhadap pesta buku tahun lalu dan tahun sebelumnya, tidak mustahil pada tahun ini juga pesta buku dikunjungi oleh ratusan ribu manusia. Melihat pada jumlah pengunjung, nampaknya budaya membaca buku kian meningkat dan memberansangkan di kalangan rakyat negara ini, terutamanya orang Melayu.

Namun perlu juga diingatkan bahawa tidak semua buku harus kita jadikan teman setia. Ada jenis-jenis buku yang wajar kita jauhi jika kita ingin berjaya dalam membina jati diri yang unggul, mempunyai minda yang sihat serta berketerampilan sebagai orang yang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Apapun, yang jelas buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Kekuatan ilmu bukan saja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa.

Selama ini orang kita bukan tidak suka membaca, tetapi tradisi membina budaya ilmu melalui pembacaan masih belum begitu meluas berkembang di kalangan orang kita. Sebagai contoh, anak remaja kita hanya gemar membaca majalah hiburan dan novel-novel cinta. Majalah yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan kurang diminati, malah mungkin ada di kalangan mereka tidak tahu tentang kewujudan majalah sebegitu di pasaran tempatan.

Pembacaan yang hendak dijadikan budaya ialah pembacaan yang berkualiti dan bukannya sebarangan bacaan yang boleh merosakkan diri dan tidak membina pemikiran pembaca. Budaya membaca buku perlulah kita pupuk kepada anak-anak kita sebaik saja mereka melangkah ke alam persekolahan. Ibu bapa jangan terlalu lokek untuk membelikan sebuah buku pada setiap bulan kepada anak mereka, di samping membekalkan majalah yang mengandungi ilmu pengetahuan seperti majalah terbitan Galeri Ilmu atau pun Dewan Bahasa dan Pustaka.

Untuk lebih menyemarakan lagi budaya membaca di kalangan rakyat negara ini, ibu bapa hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku setiap hari selain daripada membaca buku teks pelajaran. Kita perlu menanamkan minat mendalam kepada anak-anak kita supaya mencintai buku, sekali gus menjadikan tabiat membaca sebagai budaya hidup mereka setiap hari sehingga akhir hayat.

Selain daripada mendapat ilmu, dengan membaca boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan sebarang tindakan. Pemupukan minat membaca akan benar-benar berjaya sekiranya ia mampu dijadikan satu budaya. Budaya membaca menjana ilmu, iaitu ciri-ciri pembangunan budaya yang berorentasikan pendidikan dan ilmu. Hidup tanpa pembacaan dan penghayatan budaya ilmu adalah kekurangan yang amat besar dalam kehidupan. Justeru, budaya membaca buku setiap hari wajar disuburkan di kalangan rakyat negara ini tanpa mengira usia dan kedudukan.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup